RINDU ENCIK SAIKO 1

September 13, 2017


Kereta Produa Axia baharu berwarna merah meluncur laju memasuki ruangan hadapan lobi Sinar Hospital Kuala Lumpur. Pemandunya kelihatan tergesa-gesa. Dia sempat menitipkan kunci keretanya kepada security guard yang berdiri di situ. Dia berlari anak sambil mengalungkan kad pekerja. Rambutnya ikalnya yang dibiarkan lepas terbuai-buai dek tiupan angin. Sesampai dihadapan lif, dia menekan butang ke atas. Sebelah kaki terkinja kecil, giginya diketap-ketap dan dia bermain-main dengan jarinya. Riak wajahnya penuh dengan kebimbangan. “Ding!” Mujurlah lif tersebut memberi kerjasama yang baik.

            Melyssa keluar dari perut lif dan terus menuju ke pintu masuk di sebelah kiri lif. Dia kemudian masuk ke pintu yang kedua dan beberapa pintu yang berikutnya. Akhirnya dia sampai di hadapan sebuah pintu kebal. Terpampang tulisan Makmal Forensik. Dia berhenti menarik nafas dalam. Sehari harian dia berjalan ke tempat kerja pun sudah terasa penat, ini kan pula ketika dia berlari-lari tadi. Peluh mula merenik di dahi. Melyssa melekatkan kad pekerjanya pada skrin di sebelah pintu itu untuk mengakses masuk ke dalam.

           “Doktor!” Melyssa menerpa. Dia kemudian tunduk memegang lututnya. Cuba mengembalikan rentak nafas. Cemas tak terhingga sebaik sahaja dia menerima panggilan daripada hospital. Mana tidaknya rekod untuk sampel darah yang telah dianalisa olehnya yang perlu dilaporkan kepada Dr. Maheran telah hilang.

            “Mel, macam mana boleh hilang ni?” Dr. Maheran masih tenang walaupun sampel pentingnya telah hilang. “Saya letak elok dekat sini” Melyssa pantas membuka salah satu laci yang memenuhi bilik simpanan tersebut. Kosong. “Kejap, saya tak faham. Hanya Dr. dan saya sahaja yang boleh akses bilik ni.” Dr. Maheran mengangguk setuju.

“Tak apa Mel. You keep it secret sebab I tak nak you disalahkan atas kehilangan ni.” Dr. Maheran menarik kerusi untuk Melyssa duduk dan dapat merehatkan diri. “You jangan risau I still have backup sample.” Dr. Maheran cuba menenangkan Melyssa. Dia tau Melyssa serba salah kerana akan menggangu kelancaran kerja Dr. Maheran seterusnya.

            “Really? Doc, I am so sorry”. Melyssa merapatkan kedua tangannya memohon maaf. “Hmm, tapi kenapa, ya? Dr. tak rasa pelik ke? Tak kan pulak saya yang buat hilang. Kita kena siasat ni!” Melyssa mencadang. “There’s no need for that. I don’t want to delay the case. Lagipun kita kena kembalikan semula bukti tersebut kepada pihak polis.” Melyssa mengangguk. “Baiklah, kalau macam tu saya pun kena bergerak cepat. Dr. bagi saya sampelnya ya.” Dr. Maheran tersenyum meminta izin untuk berlalu setelah dia memberikan sampel baharu. Melyssa mengiring Dr. Maheran keluar dengan perasaan hairan. Kerja lebih masa lagi!

            Melyssa melakukan full body sterilization untuk memastikan dirinya bersih sebelum masuk ke dalam makmal. Siap mengenakan jubah putih, dia tidak lupa menarung sarung tangan. Melyssa mula menitikkan sampel darah baharu ke dalam ceper petri. Tiada perbezaan struktur pada sampel baharu yang diterimanya. Perkara pertama yang dia ingin pastikan.
          
           Melyssa mengerutkan keningnya. Ternyata sampel yang diberikan adalah sampel yang berbeza. Melyssa kemudian mengeluarkan sampel asal yang sempat diketepikan sebelum kehilangan sampel selebihnya. Ajaibnya sampel darah tersebut masih tahan sehingga sekarang. Ah pedulikan yang penting dia masih menyimpannya.

            Kini sampel asal diletakkan di bawah mikroskope. Dia mematikan niatnya untuk memaklumkan keajaiban sel darah tersebut kepada Dr. Maheran setelah musykil dengan tindakan pelik Dr. Maheran. Biarlah dia sahaja yang tahu buat masa ini. Sampel tersebut diteliti semula. Sel-sel terlihat sangat kuat dan mempunyai sistem imun yang tinggi. Tapi macam mana seseorang boleh bertahan hidup dengan sel yang saling berlawan antara satu sama lain? Kandungan sel darah putih pula tinggi. Adakah pemilik menghidap Leukimia? Fungsi darah putih yang membantu imunisasi badan menunjukkan pemilik mempunyai sistem recovery yang baik. Berbagai-bagai persoalan bermain dalam benak fikirannya.

            Seketika Melyssa mengangkat muka daripada mikroskop. Dia membanyangkan sekiranya dirinya sendiri mempunyai darah seperti itu. Mungkin dia akan kelihatan seperti orang sakit. Hal ini kerana zat yang di bawa dalam darah mungkin turut sama dihapuskan oleh sel-sel yang saling berlawanan tersebut. Pemilik akan menerima zat yang terhad dan berkemungkinan memiliki susuk tubuh yang kurus. Memadangkan sel-sel tersebut bergerak dan berlawan antara satu sama lain, pengaliran darah juga menjadi perlahan dan pemilik juga akan memiliki suhu badan yang rendah serta akan kelihatan pucat.

            Kali ini Melyssa cuba mencampurkan sampel lama dan baharu yang diberikan oleh Dr. Maheran sebentar tadi. Sekali lagi Melyssa menyaksikan keajaiban dan keanehan. Benar telahan Melyssa. Sistem ketahanan badan atau imunisasi pemilik adalah sangat tinggi. Sel-sel berhenti berlawanan antara satu sama lain dan bertindak pantas memakan titisan tersebut. Sekelip mata sahaja titisan tersebut hilang dan sel-sel kembali berlawanan antara satu sama lain. 'Mereka' seolah-olah hidup, menyerap, dan makan untuk hidup.

Melyssa tidak lupa merekod segala maklumat dan data yang telah diperoleh. Jam sudah menunjukkan ke angka satu pagi. Kepenatan mula terasa. Dia keluar daripada bilik uji kajinya sambil menanggalkan sarung tangan dan sarung kepala. Suit khasnya turut ditangalkan dan dia sempat mengemas duduk pakaiannya. Tiada apa lagi yang difikirkan melainkan dapat berehat di rumah dan berendam dalam bath tub.

Bertugas sebagai Juruteknologi Makmal Perubatan atau Medical Laboratory Technologist (MLT) kepada Dr. Maheran sangat seronok dan juga meletihkan. Esok dia bercadang untuk menambil cuti. Cuti tahunannya masih ada dan tidak pernah digunakan. Alangkah seronoknya jika dia mendapatkan terapi seluruh badan. Melyssa berangan tetapi dia sudah bercadang untuk ke Salon rambut milik rakannya di Wangsa Walk. Rindu untuk berbual sambil boleh cuci dan trim rambut di sana.

 -
DUA minggu telah berlalu dan selama itu jugalah kes bunuh yang dikendalikan ASP Halim telah ditutup. Kejadian tersebut diklasifikasikan sebagai misteri. Melyssa teringat akan sampel makmal dia yang rupanya ada kaitan dengan kes tersebut. Perasaan kurang enak timbul dari dalam hati. Hati berdoa agar segala perkara buruk dijauhkan. Nauzubillah.

            Melyssa rajin membantu Zara menguruskan salonnya pada hujung minggu dan hari ini pelanggan tidaklah ramai seperti selalu. Kebiasaannya hujung minggu warga kota akan keluar dan memenuhi bandar-bandar besar Kuala Lumpur. Perniagaan menjadi sibuk begitu juga dengan salon Zara tidak terlepas dipenuhi pelanggan-pelanggan. Antara pelanggan yang datang hari ini adalah kekasih Zara sendiri iaitu ASP Halim. Zara dan kekasihnya sibuk bercerita tentang kes bunuh yang kebelakangan ini sering terjadi dan membimbangkan. ASP Halim sempat berpesan kepada Zara dan Melyssa supaya berhati-hati kerana setakat ini mangsa yang terkorban adalah gadis lingkungan umur mereka.

            “Mel, you ni tak keluar ke hujung minggu macam ni?” ASP Halim menyoal. “Isnin sampai jumaat kerja. Sabtu ahad pun kerja.” Melyssa yang sedang menyapu rambut terhenti berbuat demikian. Dia kemudian tersengih dan kembali menyapu saki baki rambut di atas lantai.

            “Tak payah tanya. Dia ni tak reti nak keluar dating pun.” Zara menyampuk. ASP Halim ketawa halus. Itu sajalah topik mereka! Bentak Melyssa sendiri. “Kalau you nak, i boleh kenalkan dengan abang-abang polis Bukit Aman. Ramai lagi tu yang sedang mencari.”
Melyssa buat tak endah. “Tak payah cakaplah dengan orang tak ada perasaan ni.” Zara mencebik. “Dah rambut you dah siap. Baby, handsomeee… sangat!” Zara mengangkat ibu jari. ASP Halim melihat-lihat rambutnya di hadapan cermin. Puas hati. 

“Sama je. Dah polis tu polis la jugak rambutnya.” Akhirnya Melyssa bersuara. Zara dan ASP Halim menahan gelak.

            “Mel, kau tidur rumah aku ye malam ni.” Pinta Zara. ASP Halim ketika itu sedang bercakap dalam telefon. “Aku jadi takut pulak nak balik malam ni. Halim punya cerita menakutkan aku.” Kali ni Zara memaparkan muka kasihan. “Boleh…” Jawab Melyssa. “Bi, I have to go… ada kes baru.” ASP Halim menerpa mereka usai sahaja bercakap dalam telefon. “Pastikan you all tak kemana-mana malam ni. Stay dalam rumah. Dah saya rasanya salon boleh tutup awal hari ni.” ASP Halim mengarah tegas. “B-baik, baik…” Kelam kabut keduanya mengemas.

 -
HARI mulai menutup tirai. Seperti yang diarahkan Zara dan Melyssa duduk mengunci diri di dalam rumah. Mereka pun tidak bercadang untuk kemana-mana.

            Zara memicit-micit remote contol menukar siaran TV. Dia memilih untuk membuka berita. Seperti yang dijangka mereka sedang menyaksikan satu lagi pembunuhan misteri yang bersiri sedang dilaporkan secara langsung dari tempat kejadian. Wartawan cuba menemu ramah Pegawai polis yang bertanggungjawab. Beliau mengulas kes akan disiasat dan buat masa sekarang diklasifikasikan sebagai misteri. Mereka berdua diam dan tekun mendegar berita secara langsung itu. Tidak mahu terlepas satu pun. Kes tersebut menjadi bualan ramai dan mendapat liputan meluas dari dalam dan luar Negara.

            Di tempat kejadian, wartawan terus menerus menemu ramah beberapa figura penting untuk medapatkan informasi terkini. Kini dia cuba mendapatkan pandangan pakar psikologi forensik yang turut hadir menyaksikan mangsa terbaru itu. Beliau dilihat hadir bersama pembantunya. ASP Halim mendekati kumpulan tersebut.

            “Prof… semoga kita dapat bersama-sama merungkai kes ini.” ASP Halim cuba berbasa-basi. Dia dimaklumkan bahawa teamnya akan diketuai oleh pakar forensik muda dihadapannya kini. Cerita mengenai kepakaran beliau sangat mengagumkan kerana beliau telah banyak membantu dalam merungkaikan kes-kes yang rumit. Rasa kagum dan cemburu dengan kejayaan beliau. Professor muda yang disegani ramai. Beliau lebih selesa bekerja sendiri bersama seorang pembantunya.

            ASP Halim menghulurkan salam untuk bersalaman. Lama dia menanti professor muda itu sibuk menjawab soalan wartawan dan tidak peduli akan kehadirannya. Sombong rupanya! Telah ASP Halim. Salamnya disambut oleh pembantu professor tersebut.

            “Kalau benar apa yang dikatakan prof… cuba prof jelaskan bagaimana mangsa dibunuh dengan lebih jelas.” Wartawan masih tidak berpuas hati dengan jawapan pakar psikologi tersebut. Professor muda itu kemudian berkalih menghadap ASP Halim dia memaut leher ASP Halim kemudian membenamkan barisan atas giginya. Sepantas kilat dia meninggalkan bekas gigitan. ASP Halim tergamam.

            “Lihat kesan calar tersebut. Seakan sama bukan? Bezanya saya tidak mencederakan ASP Halim.” Professor tersebut kemudian berlalu. ASP Halim memegang lehernya. Tidak cedera? Tetapi dia dapat merasakan ketajaman gigi lelaki itu.

            Mayat mangsa telah dibawa ambulance untuk ke Hospital bagi tujuan bedah siasat. ASP Halim meminta team fotografi untuk mendapatkan gambar tengkuk dan leher mangsa. Benar luka seperti digigit. Mengikut pada ulasan kes-kes yang lalu mangsa mati kerana kehilangan darah yang banyak. Persoalannya darah mangsa disedut keluar secara paksa melalui lubang gigitan atau mengalir dengan sendirinya? ASP Halim medapatkan rakaman temuramah professor muda sebentar tadi.


            “Memandangkan kes ini semakin mendapat perhatian ramai, penjenayah mungkin cuba untuk mengubah motif pembunuhan dan mungkin cuba mengaburi mata kita dengan mencipta bukti palsu. Kematian gadis ini akan membawa kepada tuduhan ke atas kekasihnya. Memandangkan dia telah diperkosa, penjenayah cuba menjatuhkan tuduhan ke atas kekasihnya. Lihatlah pakaian dia. Cantik dan rapi seperti ingin bertemu kekasih. Jangan tertipu. Dia mahukan darah.

Klip tersebut dihentikan sebelum professor muda itu menjelaskan bagaimana dia dengan yakin mengatakan mangsa telah dibunuh dengan sebuah gigitan sahaja. “Ah!” ASP Halim memegang tengkuknya. Masih terasa akan tajamnya taring milik pakar psikologi forensik tersebut. Kekasih gadis ini perlu dijejak!


You Might Also Like

1 comments

Please leave your comment... jebal~

Top Commentators

Boy In Luv

Converse High